Perihal Ummi 2 Be :-)


Malam ini hujan turun manja, tidak renyai dan tidak lebat. Aku di dalam bilik menghadap laptop. Si manis comelku sudahpun diulit mimpi. Penat barangkali kerana memasak untuk juadah berbuka puasa tadi. Maklumla, beberapa hari lagi nak puasa Ramadhan :-) Alhamdulillah, sedap juadah masakan hari ni. Lama benar rasanya tidak makan makanan masakan isteri tersayang sejak disahkan doktor yang isteriku mengandung. Syukur Alhamdulillah :-)

Sesekali terdengar buah hatiku terbatuk-batuk, seolah-olah batuk berkahak. Aku bingkas bangun membelai rambutnya. Lena kembali. Lega di hati. Kembali aku menghadap laptop, en. Asus. Apa yang merisaukan aku, selang hampir 10 minit, batuk tersebut menyerang lagi. Risau bertingkat-tingkat aku dibuatnya. Dengan rasa prihatin sebagai seorang suami, aku lantas bangun menuruni tangga turun ke bawah dan menggapai ubat batuk cap ibu dan anak serta sebatang sudu plastik. 

Kembali semula ke bilik, "sayang, bangun kejap, kita makan ubat batuk". Bisikku lembut. Isteriku terjaga seraya membalas "mana boleh la sayang, orang mengandung tak boleh makan ubat batuk.." Ok, aku blur kejap. Terus aku tanya pakcik google, dan jawapannya memang benar, tak boleh! 

Tiba-tiba rasa macam poyo sangat tadi pergi cari ubat batuk :P Aku search lagi kat google, dan ini jawapannya, diambil dari blog www.drzubaidi.com

Terasa masih jahil diri ini untuk menjaga ibu mengandung. Ya Allah, bantulah aku.. Kita kongsi sket sama-sama apa kata Dr Zubaidi mengenai gejala batuk-batuk ibu mengandung. Di bawah entri "BATUK DAN SELSEMA KETIKA HAMIL". Pertanyaan dari seorang ibu mengandung di dalam blog Dr Zubaidi.

“Assalamualaikum doktor. Saya hamil 16 minggu. Saya mengalami selsema. Kepala saya asyik berdenyut-denyut dan saya mengalami batuk berpanjangan. Saya mohon penerangan doctor . Terima kasih”

Waalaikumussalam.

Apabila seorang wanita sedang hamil, sistem pertahanan badan akan menjadi rendah. Ini bertujuan untuk melindungi bayi dalam rahem, tetapi puan akan lebih mudah terkena jangkitan kuman yang menyebabkan batuk dan selesema.
Ini bermakna, ketika hamil sistem pertahanan badan puan anda menjadi rendah dan demam selesema akan menjadi lebih teruk.

Selesema adalah antara tanda puan diserang penyakit sinuditis. Antara tanda lain ialah:

1. sakit tekak

2. batuk

3. hidung tersumbat

4. sakit kepala

5. demam

Bagi wanita yang hamil, saya tidak menggalakkan penggunaan ubat-ubatan kecuali jika ianya perlu dan boleh mengancam nyawa ibu atau bayi dalam rahim.

Mustahil bagi puan melindungi diri daripada serangan virus yang menyebabkan selesema, tetapi puan boleh meningkatkan daya tahan dalam tubuh puan.

Antaranya ialah:

1. Makan makanan yang sihat dan seimbang. Banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran segar. Ini akan memberikan sumber mineral dan vitamin antioksida seperti vitamin C yang dapat membantu melawan jangkitan.

2. Minum banyak air sekurang-kurangnya 1.5 L dalam sehari. Selain air mineral, puan boleh minum jus buah-buahan untuk rehidrasi dan melonggarkan lendiran yang pekat. Cuba kurangkan minuman berkafein atau minuman manis.

3. Berehatlah apabila rasa perlu untuk meminimakan tahap stres puan. Kadar stress yang tinggi akan menyebabkan daya tahan puan bertambah rendah.

4. Bersenamlah dengan senaman ringan kerana ia menggalakan peredaran darah dalam badan dan membantu anda melawan jangkitan.  

5. Jika anda merokok, berhentilah. Jika puan tidak merokok, pastikan rumah puan tiada orang yang merokok dan rumah puan tidak dipenuhi habuk.

6. Saya juga menggalakkan puan mengambil multivitamin untuk kehamilan. Bincanglah dengan doktor puan terlebih dahulu.

Saya selalu memberitahu pesakit saya bahawa rawatan yang terbaik bagi selesema dengan meminum air yang banyak dan berehat apabila anda rasa letih.
Puan juga boleh mencuba kaedah rawatan tanpa ubat.

Untuk hidung tersumbat, cuba kaedah pernafasan wap. Tambahkan dua atau tiga titik minyak eukaliptus (menthol) seperti vicks dan minyak kapak ke dalam satu mangkuk air panas. Tutup kepala puan dengan sehelai tuala dan tundukkan kepala sehingga tuala itu turut melitupi mangkuk tadi. Kemudian, tarik nafas supaya wap panas masuk ke hidung untuk membantu membuka rongga-rongga hidung.

Puan juga boleh membuka air panas di pancuran mandi dan biarkan bilik air itu berwap. Duduk di dalam bilik air selama 10 minit dan bernafas seperti biasa. Sebelum itu pastikan bilik air puan bersih dahulu.



Untuk melegakan hidung tersumbat pada waktu malam atau ketika puan berada di luar rumah, titikkan minyak eukaliptus (vicks atau minyak kapak) di atas kertas tisu lembut dan hidu tisu itu seberapa kerap yang boleh.

Jika puan mengalami rasa sakit tekak diikuti dengan batuk, minum air panas yang dicampur madu dan lemon.  Gula-gula untuk mengurangkan batuk seperti strepsil juga boleh membantu.

Untuk melegakan sakit kepala atau demam, puan boleh ambil paracetamol mengikut dos yang dinasihatkan oleh doctor atau ahli farmasi.

Cuba elakkan menggunakan ubat batuk dan selsema untuk dimakan walaupun ia selamat jika digunakan mengikut dos yang ditetapkan.

Walau bagaimana pun ubat titik hidung hidung yang mengandungi oxymetazoline atau  xylometazoline  selamat digunakan jika kaedah alternatif tidak  memberikan kelegaan.

Jika tanda-tanda demam selesema dan batuk puan tidak berkurangan selepas beberapa hari, atau puan mengalami rasa sukar bernafas, jumpalah doktor. Mungkin puan mengalami jangkitan yang lebih serius dan memerlukan rawatan lanjut.

Wallahu a’lam.

Demikian bicara seorang doktor. Aku kena lebih banyak membaca dan mengkaji lagi mengenai ibu mengandung. Benarlah iktibar penurunan wahyu pertama di Gua Hira', "BACALAH!"



Kita membina hidup dengan apa yang yang kita dapat, tapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita beri.

Pendapat