Very nice story :-)

Sudah 30 minit berlalu. Termenung di tangga masjid. Lepas solat Asar. Menongkat dagu dengan tangan. Bayangan itu kembali...mengulang dan terus berulang...

Dalam hati terasa pedih. Rasa sakit ditinggalkan orang yang disayangi masih terasa bisa menghiris hati. Tak berkurang lagi. 

Aku tunduk sugul. Cuba untuk tidak memikirkan hati lara. Dah sebulan pola pemikiran berputar atas paksi masalah yang sama. Enggan mereda.

“Assalamualaikum.”

Aku menoleh ke arah suara yang menyapa. Menjawab salamnya. Seorang pakcik tua. Dalam lingkungan hampir 60. Agakanku.

“Lama termenung? Pakcik lepas solat tadi duduk bersandar hilangkan penat. Tertengok kamu ini dari tadi lagi tak berganjak-ganjak dari tangga ni.

Kalau tak keberatan, boleh pakcik tanya. Ada masalah ke?”

Berkerut sekejap kening aku. Nak cerita ke tak nak ni? Hati rasa seperti nak meluahkan segalanya keluar. Banyak sangat benda terpendam di dalam. Sampai rasa sakit dalam dada. Sesak. Ah. Tewas juga pada desakan. Hati terdesak mahu mengadu. 

“Bakal isteri saya diambil orang. Bertunang dengan orang lain.”

Aku menceritakan dengan panjang lebar segala yang terjadi. Hinggalah aku diberhentikan kerja kerana prestasi kerja yang merosot disebabkan soal hati. Sungguh aku tidak berdaya melawan halangan keluarga. Tidak berdaya menahan hati manusia dari berubah. Apatah lagi mahu merempuh takdir Ilahi. Itu sudah pasti mustahil.

“Innalillahi wainna ilaihi raaji’un. Jangan bersedih, nak. Biasalah ni. Inilah yang dipanggil pengalaman dalam kehidupan. Bukankah ini yang akan mematangkan diri kamu? Kamu dah pernah rasai peritnya halangan dari keluarga. Sedihnya rasa dikecewa. Letihnya harga berpenat lelah berkorban siang dan malam untuk mengumpul duit nikah. Kamu dah berusaha sedaya yang kamu mampu. 


Jangan pernah merasa rugi. Seorang pelajar berusaha sedaya namun dia gagal mendapatkan result yang terbaik, adakah guru akan menyalahkannya lagi setelah melihat penat lelahnya selama ini? Tidak. Sekurang-kurangnya, dia dah berusaha. Manusia tidak nampak usaha kamu, namun Dia nampak. Dia menilai dengan adil di saat manusia hanya pandai mengkritik dan mahu tengok hasil. Allah sendiri menilai ikhlasnya usaha walaupun hasil kita tidak pernah sempurna.

Kita merancang. Namun, Allah telah lama merancang. Kita mahu tentukan bahagia, namun bahagia bukan di tangan kita. Tapi Dia.”

Terasa lega sedikit mendengar kata-kata orang tua ni. 

“Adakah kamu tak dapat melupakan, sebab dia cantik menarik?”

Aku tersentak. Terkena di batang hidung. Mengangguk perlahan.

“Katalah yang cantik itu ibarat kereta Ferrari. Yang tidak cantik pula ibarat kereta kancil. Memang, orang akan tengok kereta yang mahal tu. Jadi perhatian. Sampai nak bergambar. Sampai kamu rasa riak dan takbur. Kereta kecil tadi, siapa nak tengok? Tapi, adakah kamu rasa selamat seandainya kamu parking kereta mahal itu di mana-mana? Fikiran kamu akan risau. Fikir nanti kena curi. Nanti kena calar. Nanti kena apa-apa. Last-last sekali, bawa keluar sekali-sekala. Nak jalan jauh pun fikir berkali-kali. Maintenance pun tinggi. Tapi, kereta kancil tu pula? Tenang saja. Sebaliknya. Jalan jauh pun jimat. Nak pergi mana-mana pun senang hati. Boleh guna dan bermanfaat bawa keluarga. Mana yang kamu suka, cantik tapi merisaukan. Atau yang menenangkan?”

Pakcik itu tersenyum dalam menuturkan kata.

Fikiranku sedikit terbuka. 

“Ada banyak hikmahnya yang kamu tak nampak.”

Aku mendongak melihat wajahnya.

“Apa hikmahnya? Yang saya nampak, saya yang bersalah. Saya yang terlepas. Saya yang rugi. Last-last orang kebas calon sendiri.”

Pakcik itu masih tersenyum.

“Hikmahnya, hari ini kamu berada di rumah Allah. Nampak tak?”

Angin lembut menyapa kami. Ekor-ekor rambutku disapa angin. Terasa nyaman.

Aku terdiam lama. 

Betul. 

Dah berapa lama aku tinggalkan masjid. Aku jarang ke masjid. Aku jarang menghadap Allah. Bila jadi macam ni, aku akhirnya kembali meratap di rumah-Nya.

“Tapi…saya tak dapat hilangkan kesedihan ini. Saya tak mampu melupakan dia..Tak mampu.”
Pakcik tua itu berfikir seketika.

“Lupakanlah dia sebagaimana kamu lupakan Allah dulu. 

Mari bekerja dengan pakcik. Pakcik perlukan pembantu. Sambil-sambil kerja, nanti pakcik ajarkan rahsia merawat hati itu.”

Aku berkerut kening sekali lagi. Tiba-tiba saja orang tua ni. Aku pun memang dah jadi penganggur sekarang.

“Kerja apa?”

Pakcik menunjukkan pada sebuah van yang penuh dengan tembikai. 

“Ikut pakcik jual tembikai. Edarkan ke pasar-pasar. Gaji hari ikut sales. Kalau sales tinggi, banyaklah gaji. Nak?”

Aku terdiam sejenak. Tak dapat fikir.

“Betul ni pakcik boleh ajarkan cara rawat hati?”

Aku bertanya meminta kepastian.

“Insya-Allah. Kita sama-sama minta dengan Allah.”

Dia tidak menjanjikan suatu kepastian. Tapi, dalam kata-katanya ada keyakinan. Pada Tuhan.

“Baiklah. Bila kita boleh mula kerja?”

“Lepas Subuh esok.”

Dalam kesedihan, aku cuba mengukir senyum. Hati masih sakit. Tapi, ada lega sikit. Moga Allah ganti dengan hati yang baru.

Hari ni masuk hari ketiga aku bekerja dengan pakcik tu. Dia okay. Sporting. Tak cerewet. Banyak ilmu dan petua meniaga dia ajarkan padaku. Secara umumnya, aku tak tertekan bekerja dengannya. Selesa. Kerja dari awal Subuh sampai ke petang. Berhenti sebelum Asar. Bila malam minggu tiba, kami akan buka gerai meniaga.

Namun, hati masih celaru. Tatkala si dia yang sudah jadi milik orang masih menghubungi, hati terus jadi sendu. Termenung masa kerja tak dapat dielakkan.

“Bak sini henfon kamu.”

Pakcik tu menghulurkan tangannya. Minta.

“Untuk apa?”

Pakcik itu terus mencapai henfon dari tanganku. Matikan fon dan simpan dalam begnya.

“Bila kamu sudah mulakan hijrah hati, tak perlu lagi saling menghubungi. Hidup baru tidak boleh lagi ada dia. Sikit pun tak boleh ada. Biarlah putus, tak bersambung lagi. Kalau terus begini, sampai bila hati tu nak sembuh? Bukankah kamu amanahkan pada pakcik untuk rawat hati?”

Aku mengangguk. Hati berat. 

“Mari pakcik ajarkan satu doa anjuran Nabi s.a.w. Doanya berbunyi, ‘Allahumma inni a’uzubika min dhiiqi dunya wa min dhiiqi yaumal qiyamah.’ Maksudnya, “Ya Allah, jauhkanlah aku dari kesempitan hidup dunia dan kesempitan hari kiamat.”

“Ramai orang merasa dunia ini sempit walaupun hartanya banyak. Ramai orang merasa hatinya sesak walaupun dia punya segalanya yang dia mahu. Ramai orang rasa dia dah jumpa yang terbaik, tapi sebenarnya ramai lagi yang lebih terbaik. Ramai lagi perempuan lain selain dia. Sebab apa jadi gitu? Sebab Allah tidak bertakhta di hati. Cuba letak Allah di hati, pasti dunia ini rasa luas sekali. Hati jadi lapang. Fikiran lebih terbuka.”

Menitis air mata aku mendengar untaian kata pakcik itu. Dia menepuk-nepuk bahu aku.

“Dah. Kita sambung kerja. Kamu naik ke belakang van, campakkan dengan cermat tembikai tu semua pada pakcik. Pakcik sambut di bawah. Sambil passkan tu, sambil zikir, ‘Astaghfirullahaladzim’. Hati berat kerana dosa masih berkumpul di situ. Clearkan dengan istighfar.”

Aku cuma mengikut segala arahan pakcik. Dalam keterpaksaan. Aku betul-betul nak hati aku tenang kembali.

Hampir 2 minggu berlalu. 

Sambil berniaga, sambil merawat hati. Hanya dengan zikir mudah dan doa ringkas yang diajarkan pakcik tu. 

Tapi, kadangkala kenangan lalu menguasai ingatan juga. Macam-macam datang mengganggu fikiran. Persoalan, ‘dia masih sayang aku ke?’, ‘masih ada harapan ke?’, ‘dia tak jadi kahwin, cari aku balik macam mana?’. Benda-benda ini semua akhirnya buat aku sedikit demi sedikit menjadi down.

Pakcik tua itu seakan menyedari semangatku sedikit merudum. Lalu, dia datang menghampiriku.

“Pakcik faham, bukan mudah nak melupakan. Bukan senang nak singkirkan rasa cinta dalam hati pada seseorang. Allah dan masa-Nya akan menyembuhkan. Mari pakcik ajarkan terapi hati seterusnya. Part ni paling penting. Dengar baik-baik.”

Aku mendengar bait-bait kata pakcik itu dengan serius.

“Terapi ini pakcik namakan ‘Terapi Hati Gaya Al-Quran dengan Surah Al-Insyirah.’ “ 

Pakcik tu tersenyum lebar. Bersungguh-sungguh riak wajahnya. 

“Surah Al-Syarh atau Al-Insyirah ada 8 ayat. Al-Syarh itu sendiri bermakna ‘kelapangan’. Mufassir al-Quran mengatakan surah ini adalah kelanjutan dari Surah al-Dhuha, berkat penjelasan dari kedua-dua surah ini akhirnya hati Nabi Muhammad s.a.w. menjadi tenang, penuh keyakinan dan terangkat beban dari hatinya.

Pakcik bukan nak mentafsirkan semula ayat al-Quran ni. Tak, tak. Jangan salah faham. Pakcik bukan ahlinya. Pakcik cuma nak kita sama-sama ambil intipati dan pengajaran dari ayat-ayat tu sahaja. Pakcik nak cakap kefahaman orang kampung pakcik saja. Boleh?”

Aku mengangguk-angguk sambil mengelap buah tembikai.

“Ayat pertama, ‘Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?’ Cuba kita fikir, sebelum diuji bukankah hati kita senang-lenang dan lapang? Misalnya kita tidak diuji dengan ujian berat selama hidup ni, tiba-tiba diuji dengan satu dua ujian saja, kita rasa down. Rasa dunia dah berakhir. Kita lupa Allah pernah beri peluang waktu senang? Baru teringat, kita jarang bersyukur nikmat yang Allah beri selama ni. Pada Nabi, Allah isi hatinya dengan iman dan hidayah petunjuk. Itulah yang melapangkan hati. Kita pun diberi iman dan hidayah Islam. Tak terasa lapangkah hati?

Ayat-ayat seterusnya dari surah itu sememangnya ditujukan pada Nabi s.a.w. khasnya. Tapi, Al-Quran ini untuk panduan kita semua. Ayat ke-2 misalnya, ‘Dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu.’ Bukan saja beban pada Nabi, tapi masalah-masalah yang menimpa kita selama ini, siapa yang hilangkannya dari hidup kita kalau bukan Allah? Hari ini, pakcik dan kamu masih bernafas. Masih mampu makan dan minum dengan baik. Banyak masalah yang menimpa kita sepanjang kehidupan, tapi setelah masa berlalu, kita sendiri pun kadang-kadang dah lupa kita pernah ada masalah sewaktu dulu.

Ayat 5 dan 6 pula, ‘Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.’ Nah, Allah sendiri dah tegaskan. Dua kali ulang. Ujian sukar macam mana pun, ada bersamanya hikmah dan pertolongan Allah. Sedih macam mana teruk sekalipun, akhirnya akan ada gembira. Diuji dahsyat sampai mati sekalipun, namun andai seseorang itu sabar, di akhirat dia dapat Syurga. Bukankan itu berita gembira?”
Pakcik berhenti sebentar bertazkirah. Bila melihat aku sudah mengalirkan air mata. Tak tahu kenapa mudah benar aku menangis.

Dia memeluk aku. Faham dengan jelas. Yang tua lebih dulu rasa pahit maungnya. Sambil memeluk diriku, dia menyambung ringkas,

“Ayat ke-7 menyuruh kita jangan putus asa beramal soleh. Ayat terakhir sekali paling penting, ‘dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.’ 

Segala sedih hari ini. Haraplah pada Allah untuk mengubatinya.

Segala duka hari ini. Haraplah pada Allah leraikannya. 

Segala sayang yang masih ada dalam hati hari ini. Haraplah pada Allah untuk menghilangkannya. 

Segala dosa-dosa lepas. Haraplah pada Allah menghapuskan kesemuanya.”
Aku terus menangis teresak-esak dalam pelukan pakcik tua. Seakan mahu terluah segalanya dari dasar hati tika itu.

Sebulan berlalu. 

Dengan berbekalkan ilmu terapi hati pakcik, aku cuba amalkan membaca Surah Al-Insyirah di setiap solatku, setiap kali aku hampir termenung, setiap kali aku rasa sedih mahu datang lagi. Baca dan fahami. Berulang kali muhasabah diri.

Pakcik tua itu banyak mengajarku erti hidup Muslim. Berniaga dan solat tidak berpisah. Bila masuk waktu, segera bersolat. Tinggalkan perniagaan. Pernah kami tinggalkan saja buah-buah tembikai itu dan pergi solat tanpa dijaga sesiapa, pakcik cuma katakan kalau orang nak ambil, ambil sajalah. Apa yang kita rugi? Tembikai itu dari Allah. Niat sedekah. Dah rezeki dia. Dia mencuri, itu antara dia dengan Allah. Dengan solat yang konsisten, hati parah berkurang sedikit. Solat, Al-Quran dan zikir. Terapi hati terbaik.

Aku ada beritahu pakcik tu, gaji aku tu separuhnya simpankanlah untuk aku. Hajatnya nak buat tambang umrah. Pakcik tanya kenapa umrah pula. Kenapa tak guna untuk nikah? Aku cuma jawab, hati terasa rindu nak ke sana. Dia senyum dan hormat permintaanku.

Bulan kedua, pakcik tu arahkan aku hantarkan tembikai ke sebuah rumah. Katanya, sedara mara. Sekali seminggu aku diminta hantar ke sana. 

Aku memilih tembikai yang terbaik, bawa ke rumah itu. Sampai di rumah, aku bagi salam. Tak berjawab, tapi ada bunyi wanita batuk-batuk di dalam. Suara macam makcik-makcik. Aku tak tergamak nak ganggu. Lalu, aku tuliskan satu nota dan letakkan dalam plastik tembikai. Nota pertama bertulis, “Moga makcik lekas sembuh. Amin. Oh, ya. Boleh tak doakan hati saya tenang? Doa para ibu biasanya mustajab. Terima kasih. – Dari, Encik Watermelon.” 

“Makcik, saya letak tembikai ni di luar pintu. Saya balik dulu!”

Minggu seterusnya, aku hantar lagi. Aku bagi salam dan ketuk pintu. Tak berjawab. Mungkin makcik tidur agaknya. Aku tinggalkan nota lagi.“Saya dah pilihkan tembikai yang paling manis untuk makcik. Harap makcik dirahmati Allah. Doakan hati saya tenang sentiasa ya, makcik. – Dari, Encik Watermelon.” 

Ku laungkan seperti biasa supaya makcik tahu tembikainya sampai.

Begitulah seterusnya, setiap minggu. Selama dua bulan. Ku tinggalkan nota. Kadang-kadang, aku coretkan cebisan doa yang ku hafal dari pakcik atas nota tu.
**

Empat bulan berlalu.

“Alhamdulillah! Duit gaji kamu dah cukup untuk pergi umrah. Pakcik pun nak pergi juga.”

Aku seronok mendengar khabaran tersebut. Excited. Tak pernah-pernah dapat peluang macam ni. Hatiku sudah di Mekah. Tak sabar-sabar nak tengok Kaabah. Nak lawat makam Nabi s.a.w.

Sampailah hari yang ditetapkan. Kami berangkat ke Mekah bersama-sama.

Sampai saja di Mekah, aku menangis semahunya. Syukur yang amat sangat. Allah akhirnya jemput aku jadi tetamu-Nya. Aku ikut pakcik mengerjakan umrah dengan jemaah muslimin yang lain sampai selesai. 

Tibalah hari untuk berangkat pulang.

“Pakcik nak tanya kamu sesuatu. Boleh?”

Aku senyum. 

“Apa dia?”

“Kamu nak nikah tak dengan anak pakcik?”

Aku berkerut kening.

“Ha? Saya tak tahu pun pakcik ada anak selama ni?”

Pakcik tergelak. 

“La, selama ini kamu pergi hantar tembikai ke rumah pakcik tu, kamu tak kenal anak pakcik?”

Aku bingung kejap. Menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

“Seingat saya, saya hantar ke rumah seorang makcik. Kan?”

Pakcik menggeleng-gelengkan kepala.

“Taklah. Tu rumah pakcik. Kamu pernah tengok ke rupa ‘makcik’ tu?”

Aku menggelengkan kepala.

Pakcik tu kemudiannya memanggil anak perempuannya. Selama umrah, kami terpisah dengan jemaah muslimat. Aku tak ambil port pun. Aku datang nak buat umrah, bukan nak tengok awek.
Aku gementar sedikit.

Seketika, datang seorang gadis. Dengan senyuman manis ke sisi ayahandanya. Cantik menawan. Aku cepat-cepat tundukkan pandangan. Baru lepas beribadah, dah nak tengok awek. Aduh, tak baik begitu.

“Assalamualaikum, Encik Watermelon.

‘Makcik’ ni dah doakan hati kamu tenang setenang-tenangnya. Moga Allah berikan ketenangan hati dalam menjalani hari-hari mendatang. Amiiin.”

Aduh. Malunya aku semalu-malunya. Ingatkan makcik, rupanya cik!

Pakcik tu bertanyakan aku sekali lagi,

“Macam mana, nak?”

Aku terkesima.

“Tapi, pakcik…saya kan bukan lelaki yang baik. Pakcik tahu saya macam mana. Pakcik tahu cerita lepas saya…Pakcik tahu hati saya terluka teruk..”

Anaknya mencelah lembut. Seraya tersenyum.

“Saya tahu awak baik orangnya. Awak tak masuk rumah yang ada wanita di dalam walaupun ‘makcik’. Awak buat baik dengan orang tua, titipkan kata-kata semangat dan doa pada ‘makcik’ ni. Awak hormat kedudukan ‘makcik’ setara ibu awak sendiri. Minta ‘makcik’ doakan dengan doa para ibu. Semua tembikai yang awak pilih, terbaik. Manis. Pandai awak. 

Ayah saya dah cerita segala effort awak untuk merawat hati sendiri. Awak dah cuba sedaya upaya mengatasinya. Saya kagum. Kalau saya, dah lama saya down susah nak bangkit semula. Awak percayakan ayah saya walaupun ayah saya bukan seorang ustaz atau alim ulama. Sanggup kerja sederhana memerah keringat. Tak baik lagi ke macam tu?

Ha, jangan panggil saya ‘makcik’ lagi pasni ya. Panggil Cik Isteri ke..Cik Jodoh ke..”

Aku tersipu-sipu malu. Merah telinga. 

Pakcik raih tanganku. 

“Kita akad kejap lagi ya…”

Aku hampir menitiskan air mata. Teringat balik kata-kata Allah dalam Surah Al-Insyirah. Betullah dalam kesusahan adanya kemudahan. Letak harapan penuh pada Dia sembuhkan segala duka lara. Kita sangka kita dah pilih yang terbaik, menangis menyesal kerana terlepas yang terbaik. Namun, terbaik bagi kita belum tentu terbaik bagi Allah. Dia lebih tahu siapa untukmu.

Dia Pencipta Hati.
Pastilah Dia paling pakar mengubati.

Fuh~
Pergilah segala kesedihan hati.

p/s: ni salah satu lagi cerita dari FB Muhammad Rusydi :-)

Kita membina hidup dengan apa yang yang kita dapat, tapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita beri.

Pendapat