Tukar bukan Lepas

Assalamualaikum dan salam Ramadhan. Apa khabar puasa kita hari ini? Apa khabar tarawikh kita setakat hari ini? Tepuk dada tanyalah iman.. :-)
Hari ni nak share sket mengenai pengalaman seorang ustaz yang juga bergelar motivator tentang kisah "tanggungjawab seorang ayah". Kisahnya sempoi dan santai..adaptasi kisah perbualan di antara dia dan sahabatnya...

"Ah, tak habis-habis juga.."
"Memang takkan habis.."
"Sampai bila?"
"Sampai bila-bila.."
"Ye ke ni?"
"Iye, itulah tanggungjawab seorang ayah dan bapa," tingkah saya.

"Ingatkan bila dia sudah bersuami, lepas tanggungjawab saya"
"Kurang tepat tu..bukan lepas tangan, cuma tukar tangan. Dari tangan ayah ke tangan suami"
"Itulah tanggungjawab. Kita perlu menanggung, kita akan disoal dan terpaksa pula menjawabnya"
"Maksudnya?"
"Anak kita adalah tanggungan kita. Tegasnya, amanah Allah. Kita wajib memnuhi semua keperluannya."
"Saya rasa semua telah dibereskan, sejak kecil hingga dia telah bersuami sekarang."

"Maaf saya bertanya, apa yang awak faham tentang keperluan seorang anak?"
"Kenapa awak tanyakan itu?"
"Sebab, jika kita faham semua keperluan seorang anak barulahkita boleh menjawab apakah keperluan itu telah dipenuhi atau sebaliknya. Dan setelah itu barulah boleh kita menjawab sama ada tanggungjawab itu sudah selesai atau tidak."
Dia diam. Mungkin berfikir.

"Apa keperluan seorang anak?"
"Keperluan fizikal dan material. Makanan minuman, pakaian, perlindungan."
"Itu sudah. Saya sudah penuhi."
Saya mengangguk. Dia seorang ahli perniagaan yang berjaya. Sudah sewajarnya.
"Keperluan akal. Maksudnya ilmu. Ilmu akademik dan ilmu agama."
"Itu sudah. DIa berijazah. Ilmu agama? Sejak kecil dia telahs aya bekalkan ilmu Fardhu Ain. Khatam Quran di sekolah rendah lagi."

"Keperluan perasaan..."
"Ha? Keperluan perasaan? ni pertama kali saya dengar..." Balasnya terus terang.
"Keperluan perasaan ialah hak anak untuk didengar kata-katanya. Hak anak untuk dibelai melalui kata-kata. Mendapat pujian, dorongan, rangsangan, teguran, simpati, empati dan..."
"Tunggu. Tunggu! Semua ini membuat saya keliru. Keperluan perasaan, tolong jelaskan."
"Hak untuk didengar. Maksudnya, ibu bapa mesti menjadi pendengar yang baik kepada anak-anaknya. Kita dengar cerita, rintihan, keluhan, suka dan duka hatinya. Itu keperluan yang sangat penting. Malah, kata pakar psikologi, manusia memerlukan kata-katanya didengar sama seperti tubuhnya perlukan makanan."
Menyingkap kembali kisah Siti Fatimah puteri Rasulullah. Pernah satu ketika Fatimah pergi berjumpa bapanya, Rasulullah. Lalu mengadukan halnya yang seringkali keletihan dalam menguruskan urusan rumah tangganya. Adu Fatimah, kerja rumahnya banyak dan sering tidak cukup waktu untuk menyelesaikannya. Menggiling tepung, membasuh baju suami, menjaga makan minum suami, mengemas rumah dan lain-lain..

"Wahai puteriku, kalau engkau mahu, aku boleh membuatkan penggiling tepung menggiling dengan sendirinya." Kata Rasulullah.
"Tetapi wahai puteriku, ketahuilah bahawa segala usaha dan penat lelahmu menyelesaikan segala kerja rumah dan menjaga suamimu amat besar pahalanya di sisi Allah Taala" Tambah baginda lagi.
Begitulah tauladan Rasulullah dalam memenuhi keperluan perasaan anaknya walaupun Fatimah telahpun berumah tangga pada ketika itu.

"Begitu ya. Rasa bersalah pula," keluhnya. Mukanya tiba-tiba redup.
"Mengapa, tiba-tiba bersedih?"
"Semalan, anak perempuan saya datang,. Mengeluh tentang kepenatannya mengurus hal rumah dan anaknya. Minta nasihat, adakah dia perlu dapatkan khidmat pembantu rumah. Dan selepas tu minta pula tolong kalau-kalau saya ada contact nak dapatkan pembantu rumah yang baik."
"Respon awak bagaimana?"
"Saya kata, dia kan dah ada suami? Rundinglah dengan suami. Kenapa masih mengadu kepada saya? Kalau masalah kewangan, boleh saya tolong. Ni, mereka mampu. Hanya nak datang mengadu...ha, pening saya. Bukan awak tak tahu saya sejak akhir-akhir ini tak berapa sihat."
"Itulah keperluan perasaan seroang anak. Lain rasanya, bila anak-anak luahkan masalah depan suami berbanding seorang ayah."
"Ya, ya. Sekarang baru saya rasa"

"Itulah keperluan perasaan. Ada lagi satu keperluan yang jauh lebih penting."
"Ada lagi?" Dia terkejut agaknya.
"Keperluan hati, keperluan rohani." jawab saya seakan berbisik.
"Macam mana tu?"
"Keperluan hati ialah keperluan mendapat didikan. Anak-anak perlukan pendidik dan pemimpin dalam hidup mereka. Ilmu boleh dipelajari, perasaan boleh dibelai tetapi hati perlu dididik dan dipimpin."

"Macam mana nak mendidik anak?"
Tanpa sedar dia menyoal solan yang amat basic. Seolah-olah orang yang belum mempunyai anak, sedangkan dia sebenarnya sudah bercucu. Namun dalam hati, saya sendiri sebenarnya dihujani pertanyaan yang sama.

"Kita ibu bapa perlu menjadi contoh atau teladan sepanjang kehidupan anak-anak. Didikan yang berkesan melalui teladan. Kita cuba sedaya upaya menjadi insan soleh untuk memimpin mereka menjadi soleh dan solehah. Agar dengan itu mereka boleh mencontohi solat, puasa, kegigihan, kejujuran, ketelusan, amanah dan lain-lain sifat mahmudah kita."
"Wah, itu berat. Benar-benar berat."
"sekarang, secara tidak langsung kita dah boleh menjawab adakah tanggungjawab kita sudah selesai apabila anak perempuan sudah bersuami?"
"Cukup! Saya mengaku, betul, ni terus terang... saya belum selesai lagi tanggungjawab sebagai ayah. Keperluan perasaan, keperluan hatinya belum lagi saya penuhi."
"Awak, saya dan semua ibu bapa tidak akan dapat menyelesaiknnya..."
"Maksud awak?"
"Tanggungjawab itu bukan untuk diselesaikan tetapi untuk dilaksanakan. Tidak ada dateline. Tetapi ai tugas sepanjang hayat. Ia tanggungjawab yang tidak akan selesai-selesai... it's a journey not a destiny!"

"Tapi saya selalu dengar, ada ibu bapa yang kata 'anak saya dan lepas'. Apa maksudnya tu?"
"Entah, awak yang selalu dengar agak-agak apa maksudnya?" kilas saya kembali.
"Tak pasti pula. Tapi setahu saya, maksud 'dah lepas' tu ada dua. Pertama, dah lepas pengajian dan telah bekerja. Jadi anak tersebut sudh ada sumber pendapatan sendiri, tak payah lagi ditanggung oleh ibu bapanya."
"Satu lagi?"
"Dah kahwin. Anak perempuan sudah bersuami. Ibu bapa dah lepas tangan kepada menantu lelaki untuk menjaga anak perempuan mereka."

"Saya rasa istilah lepas tangan tu tidak berapa tepat..."
"Kenapa?"
"Ia menggambarkan seolah-olah kita tidak bertanggungjawab. Macam kita memandu kereta, tiba-tiba kita lepas stereng. Buruk padahnya."
"Jadi, istilah apa yang tepat?"
"Tukar tangan. Kita bertukar tangan dengan menantu lelaki untuk menjaga anak perempuan kita. Umpama memandu kereta, sebelum anak kita kahwin, kita jadi driver. Tapi bila anak dah kahwin, kita jadi co-driver...menantu lelaki kita pula jadi driver."
"Haha, cantik perumpaan awak tu."

"Awak dah tahu apa tugas co-driver tu?"
"Dia tak boleh alpa. Memang dia agak rehat sedikit tetapi bukan rehat sepenuhnya. Dia mesti sentiasa menemani driver dan sedia untuk membantu bila-bila diperlukan. Ibu bapa yang baik sentiasa menjadi penasihat, pakar rujuk, kaunselor, pendamai dan mentor untuk anak-anak, menantu, cucu dan cicitnya, selagi hayat dikandung badan."
"Wah, itu rupanya maksud tukar tangan... bukan lepas tangan!"
 
Adaptasi - Nota Hati Seorang Lelaki : Ustaz Pahrol Mohd Juoi



Kita membina hidup dengan apa yang yang kita dapat, tapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita beri.

Pendapat