Nasihat yang menggetar

Alhamdulillah, syukur pada Allah kerana masih diberi kesempatan untuk diri ini bertemu dengan seseorang yang dikenali dengan panggilan "baba". Orang yang amat aku kagumi ketabahan dan keilmuannya. Walaupun "style" hidupnya tidak mengikut arus kemodenan metropolitan, tetapi butir-butir ilmunya merentasi kemodenan yang sering menyeret kealpaan bersama.

Diberi peluang pada satu pagi untuk bersemuka dan berbicara. Tidak ada isu "berat" yang kami bualkan. Mengenai Ramadhan, kerja, kehidupan dan lain-lain isu santai. Aku akui, banyak mutiara ilmu yang keluar dari bibirnya menjadi azimat hidup aku sekarang. Terima kasih ya Allah. 

Sedang kami bualkan mengenai Ramdhan, tiba-tiba timbul isu penerimaan Allah terhadap hambaNya. Aku dengar sepatah demi sepatah bunga-bunga nasihat dari baba. Seperkara membuatkan aku terpana seketika..

"Wan, kamu tahu tak apa pentingnya doa?"

Dengan spontan dan selamba aku jawan macam biasa "doa tu senjata mukmin"
"Pernah dengar hadis nabi kata kalau sapa tak doa lepas solat tandanya dia sombong dengan Allah?" 

"Pernah, femes hadis tu baba"

"Kalau orang yang tak berdoa, macam mana wan?"

"Tu maknanya dia sombong dengan Allah"

"Kamu faham sifat Qudrah dan Iradah Allah?"

"Qudrah berkuasa, Iradah berkehendak, kan?"

"Ye la...apa maksudnya..."

Nampak gayanya baba macam nak menguji kefahaman aku. Aku cuba melajukan kepantasan otak berfikir.

"Maknanya, setiap yang berlaku adalah atas kehendak dan kuasa Allah Taala. Semunya atas kuasa dan kehendak Allah. Zahirnya perbuatan manusia, tetapi hakikat perbuatan itu adalah dengan kehendak Allah"

"Ok, kalau seseorang tu tak berdoa selepas solat, itu kehendak dia atau kehendak Allah?"

"Macam tadi la baba, zahirnya dari manusia, tapi hakikatnya dari Allah"

"Jadi, maksudnya Allah gerakkan hatinya untuk tidak berdoa, camtu?"

"Hakikatnya camtu la baba"

Baba seolah cuba bersilat kata, bertikam makna. Aku terus cuba mentafsir hasrat dan kehendak baba.

"Betul tu jawapan kamu..."

Lega rasanya bila di"iya"kan. Baba meneruskan bicara.. "Kata ahli sufi, dalam kitab al-hikam, orang yang tidak berdoa selepas solat bermakna Allah sudah membencinya. Sebab itulah Allah tidak gerakkan hatinya atau Allah beratkan hatinya untuk berdoa kepadaNya"

Aku tergamam. Secara automatik minda memuhasabh diri ini. Rasanya ada ketika aku sendiri terasa berat untuk berdoa selepas solat. Adakah Allah menbenci aku? Astagfirullahal'azim..ampunkan aku ya Allah. Ketar dijiwa terasa bila mendengar kata-kata baba tadi. 

Dengan tak semena terpacul pertanya spontan.." kalau Allah benci kita, apa kita nak buat baba?"

Baba tersenyum...agak lama..mungkin baba telah membaca fikiran dan hati aku. Ah, malu rasanya. Tapi aku lupa, aku "kurang" malu dengan Allah selama ini. Astagfirullah..

" Kita manusia tidak terlepas dari dosa. Kalau kita buat salah dengan manusia kita kena pujuk untuk maafkan kita. Begitu tamsilannya dengan Allah. "Pujuk" Allah dengan bertaubat. Allah itu maha pengampun dan penyayang. Keampunannya mengatasi kemarahannya. Hanya manusia yang TIDAK mahu memohon keampunannya"

Panjang mutiara kata dari baba. Baba menyambung lagi...

"Allah ciptakan kita, Allah tak berkehendak kepada kita. Segala apa yang Allah wajibkan ke atas kita adalah untuk diganjarkan kepada kita juga di akhirat nanti. Tapi bila kita tak meminta, maka Allah pun tak nak memberi. Tetapi perlu diingat, Allah dah berikan "hint" kepada kita di dalam Al-Quran dan Hadis. Itulah tanda kasih sayang Allah. Allah berikan "hint" kerana Allah mahu memberikan pahala kepada kita. Tapi bila kita yang tidak meminta setelah "hint" diberikan, maka itu adalah salah kita"

Sekali lagi minda memuhasabah diri. Rasanya kurang kerap aku buat solat taubat. Istighfar 70 kali sehari pun tidak istiqamah. Rasa berdosa menyelubungi diri...
" Ada satu hadis di dalam sohih bukhari. Hadis yang menceritakan bagaimana kasih dan sayangnya Allah kepada hambaNya. Diriwayatkan oleh Nabi bahawa di akhirat nanti ada seorang hamba Allah yang mati di dalam iman tetapi dosanya mengatasi amalan kebaikannya. Lalu Allah masukkan dia ke dalam neraka. Sewaktu di dalam neraka dia telah melihat keindahan syurga. Hatinya terpikat dengan keindahan tersebut. Lalu dia memohon kepada Allah "Ya Allah, palingkanlah wajahku ke syurga. Aku amat senang melihat syurga walaupun aku di dalam neraka". Allah dengan penuh kasih sayang dan rahmat telah mengqabulkan permohonannya. Maka Allah palingkan wajahnya ke syurga. Setelah sekian lama memandang syurga, hatinya terasa ingin mengetahui lebih tentang syurga. Maka dia membuat permohonan lagi kepada Allah. "Ya Allah, letakkanlah diriku diluar syurga. Aku hanya ingin duduk berhampiran syurga. Aku sedar aku masih lagi ahli neraka dan tidak layak untuk masuk kedalam syurga". Allah dengan penuh rahmat telah mengqabulkan doanya. Setelah sekian lama, hamba tadi memohon lagi "Ya Allah, izinkan sebelah kakiku dimasukkan ke dalam syurga. Aku ingin benar merasakan sedikit dari nikmat syurgaMu ya Allah". Rahmat Allah maha hebat, Allah telah mengqabulkan permintaannya buat kesekian kalinya..."

Aku mendengar dengan penuh khusyuk. Tajam mataku ke arah baba..

" Kamu tahu apa permintaan terakhir dia wan?"

"Tak tahu, sebab tak pernah dengar hadis ni"

"Akhir sekali dia minta Allah masukkan dia ke dalam syurga dan Allah qabulkan" Kata baba sambil tersenyum.

Terasa puas mendengar kisah tersebut. Tiba-tiba baba menambah..

"Tapi kena ingat, syaratnya wajib mati dalam iman" Aku mengangguk perlahan-lahan. Sayu-sayu kedengaran suara azan zohor menusuk telinga. Ruang bilik yang berhawa dingin itu menyukarkan laungan azan dari masjid menyelinap masuk. Kami bergegas menyiapkan diri untuk solat. 

Dalam hati aku, masih terngiang-ngiang kata-kata baba "orang yang tak berdoa lepas solat tu maknanya Allah benci kepadanya". Gerun, takut, risau..Ya Allah, janganlah kau membenci aku..ampunkan aku Ya Allah...


Kita membina hidup dengan apa yang yang kita dapat, tapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita beri.

Pendapat