Tips Lailatul Qadar


Tips yang sangat berguna untuk 10 malam terkahir Ramadhan - Oleh Sheikh Tawfique Chowdhury. Dapat dari group whatsapp daripada rakan-rakan. Versi asalnya berbahasa inggeris. Diterjemahkan di sini untuk rujukan bersama. Moga bermanfaat untuk kita menghidupkan malam-malam Ramadhan tahun ini yang masih berbaki, insyaAllah...

1. Jangan biarkan prestasi puasa dan ibadah anda yang telah berlalu memberi kesan negatif kepada 10 malam Ramadhan terakhir anda. Anda masih mempunyai peluang. Saat-saat pengampunan  dari Allah boleh menjelma pada bila-bila masa di hari-hari yang mendatang. Bangunlah untuk mendapatkan yang terbaik pada Ramadhan kali ini. Mulakan dengan niat yang positif dan ikhlas.

2. Hari ini, mulakan dengan meluangkan sedikit masa untuk membaca tafsir Surah Al-Qadr untuk benar-benar memahami apa yang sebenar-benarnya yang akan berlaku pada malam tersebut. Anda akan merasakan kehebatannya dan lebih bersemangat untuk memburunya.
3. Jangan tunggu malam ke 27 untuk memohon segalanya. 10 malam terkahir sepatutnya menjadi target anda. Berjaga pada setiap malam! Adakah anda mahu terlepas Lailatul Qadar walaupun telah diberi peluang?

4. Hafal dan lazimkan memohon doa yang diajar oleh Rasulullah S.A.W:" Allaahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul-‘afwa fa’fu ‘anni" (Ya Allah, Engakau Maha Pengampun dan suka mengampunkan, maka ampunkanlah aku)

5. Sediakan senarai doa ringkas. Ingat, lailatul qadar merupakan saat yang sangat istimewa bagi seorang "hamba" yang Allah hanya berikan setahun sekali, malam taqdir! Senaraikan permintaan anda yang anda harapkan di dunia, pada agama, keluarga, dan juga di akhirat nanti. Jangan lupa doakan juga semua saudara seislam kita di serata dunia yang sedang menderita!

6. Tidur ringkas di siang hari sekiranya berpeluang. Pastikan perut anda ringan, jangan makan terlalu banyak dan tidur sebaik sahaja selepas solat isyak, jangan bertangguh! Selepas tidur ringkas, bangun dan segarkan diri. Bersedia untuk beribadat!

7. Kejutkan ahli keluarga anda! Rasulullah membangunkan isteri-isterinya untuk memburu malam lailatul qadar. Jangan dilupakan anak-anak anda. Kalau mereka boleh bersengkang mata untuk bermain game dan menonton, maka tidak mustahil untuk mereka bersengkang mata kerana ibadah, sekurang-kurangnya beberapa ketika pada setiap malam. Berikan aktiviti kepada mereka untuk mereka menjiwai "pemburuan" lailatul qadar.

8. Pakai pakaian yang memberikan semangat kerana pakaian memberi kesan kepada psikologi anda. Pakai pakaian yang terbaik, semburkan wangian dan rasakan tenaganya!

9. Pilih tempat yang bersesuaian, sama ada di masjid atau di rumah. Tempat yang boleh memberikan ketenangan kepada jiwa anda. Sediakan Al-Quran, Sejadah, dan air di tempat tersebut supaya anda tidak teralih perhatian untuk mendapatkan keperluan tersebut sewaktu beribadah.

10. Ini bukanlah malam untuk tweet gambar atau update status FB mengatakan betapa anda sangat teruja melakukan ibadah memburu lailatul qadar! Biarkan ia menjadi rahsia di antara anda dan juga Al-Afuww!

11. Kalau anda rasa mengantuk, lakukan ibadat lain untuk menghilangkan rasa menagntuk tersebut. Contohnya kalau mengantuk ketika sedang membaca Quran, anda boleh bangun dan lakukan solat sunat. Ubah kedudukan anda apabila mengantuk datang bertandang.

12. Sabar adalah kunci kepada lailatul qadar. 10 hari terakhir ini mungkin memenatkan anda. Anda mungkin bekerja atau masih belajar. Ini adalah masa untuk menanggung segala kesusahan demi lailatul qadar, teruskan bersabar. Fikirkan bahwa Allah telah memberi peluang untuk anda memburu lailatul qadar yang mungkin tidak akan datang lagi dalam hidup anda. Kalau anda dapat mengetahui bahawa ini adalah Ramadhan terakhir anda dan ini peluang untuk anda merayu syurga Allah, sanggupkan anda mengorbankan segalanya demi untuk mendapatkan lailatul qadar?

13. Perkara yang paling penting: Kekalkan husnu zon (bersangka baik dengan Allah) sepanjang masa. Apabila anda memohon, ingatlah bahawa anda memohon kepada Raja yang Maha Pemurah. Apabila anda mengharapkan yang terbaik, maka Allah akan berikan yang terbaik. Jangan bersangka buruk dan tidak yakin. Percayakan Allah, menangislah di hadapannya, buangkan semua keraguan, hapuskan segala halangan, dan jangan berfikiran negatif yang boleh menjauhkan anda dari tuhan yang Al-Rahman dan Al-Rahim!
Allahumma ballighna laylatal qadar...amin ya rabb...


Kita membina hidup dengan apa yang yang kita dapat, tapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita beri.

Pendapat