Susah, apa nak buat?

Sedang menunggu isteri "tasmi'" dengan ustazah dia. Duduk bersandar di balkoni Surau As-Syakirin, Taman Baiduri, Cheras. Pagi tadi isteri dah pesan, tak perlu teman pegi tasmi', tapi aku tak sampai hati nak bagi dia pergi sorang-sorang, selalu ada risau di hati kalau dia pergi sorang-sorang, takut orang langgar kete la, takut dia tertidur waktu drive la, takut dia tak pandai isi minyak la...hehehe :p

Teringat satu kisah yang diceritakan oleh seorang ustaz satu ketika dulu. Kisah mengenai Imam Ahmad bin Hanbal, salah seorang daripada imam mazhab empat yang masyhur. Dikatakan juga bahawa beliau adalah orang yang dikurniakan Allah dengan ingatan yang sangat kuat sehingga dihikayatkan beliau menghafaz 1 juta hadis. Tidak hairanlah seperti yang kita lihat sekarang, kitab "Musnad Imam Ahmad" berjilid2 banyaknya.

Dihikayatkan daripada hikayat-hikayat yang sohih bahawa Imam Ahmad sering mengingatkan orang ramai khususnya pada mereka yang menghadiri kuliahnya untuk sentiasa beristighfar, lebih2 lagi ketika menghadapi kesusahan atau ujian dari Allah. Pernah ada orang bertanya kepada Imam Ahmad "wahai tuan guru, rezekiku sempit, selalu tidak cukup, apa harus aku lakukan", "wahai tuan guru, anakku degil dan nakal, apa yang ahrus aku lakukan?", "wahai tuab guru, isteriku degil, apa yang harus aku lakukan?", "wahai tuan guru, suamiku selalu memarahiku, apa yang perlu aku lakukan?", "wahai tuan guru, perniagaanku tidak maju, apa yang harus aku lakukan?"...Jawab Iman Ahmad, "beristighfarlah"...
Kisah Imam Ahmad ini telah tersebar ke seluruh pelusuk dan ceruk tempat pada waktu itu. Dikisahkan pada suatu masa, Imam Ahmad telah pergi ke suatu tempat yang agak jauh untuk menyampaikan dakwahnya. Dalam perjalanan pulang, beliau telah menempuh waktu musim sejuk yang agak sukar. Keadaan telah memaksanya untuk berhenti berehat di sebuah masjid. Persinggahannya itu diniatkan untuk berehat sebentar menghilangkan penat memandangkan perjalanan ke destinasinya masih lagi jauh. Beliau melangkah masuk ke dalam masjid lalu solat dua rakaat. Seusai memberi salam, beliau merebahkan badan ke lantai masjid, terasa sungguh lega..
Tiba-tiba, datang penjaga masjid tersebut dan terus memarahi Imam Ahmad. Katanya "engkau tidak boleh tidur di dalam masjid ini, ini tempat ibadat!". Maklumlah, di zaman tersebut masih tidak ada TV, radio dan internat seperti zaman sekarang. Walaupun nama Imam Ahmad masyhur, tetapi ramai yang tidak mengenali wajahnya. Jawab Imam Ahmad "Izinkan aku tidur sebentar untuk menghilangkan lelah. Aku dalam perjalan pulang ke kampung halamanku yang masih jauh". Penjaga masjid itu tidak menghiraukan permintaan Imam Ahmad dan menyuruhnya beredar dari masjid. Imam Ahmad akur dan berlalu keluar. Beliau duduk di serambi masjid. Tatkala melihat perbuatan Imam Ahmad, penjaga masjid tadi seraya berkata "Di sini pun tak boleh tidur, ini masih lagi kawasan masjid!". Dengan penuh hampa Imam Ahmad berlalu pun melangkah pergi. Dalam kehampaan, beliau disapa oleh seorang tua, "Wahai orang muda, datanglah berehat di rumahku, rumahku agak panas kerana aku seorang pembuat roti". Seperti menyorong bantal kepada orang yang mengantuk, Imam Ahmad mengikuti orang tua itu ke rumahnya...
Ketika sedang berehat, mata Imam Ahmad memerhati gerak geri orang tua tadi yang sedang menguli tepung untuk dibuat roti. Beliau memerhati dan mengamati gerak geri orang tua tersebut. Setelah berkali-kali memerhari, maka Imam Ahmad pun bertanya "wahai orang tua, apa yang kau ucapkan setiap kali engkau menguli tepung tadi?" Jawab orang tua tersebut "aku beristighfar". Imam Ahmad berasa takjub. Terus dilemparkan soalan kedua "Apa yang engkau dapat dengan amalan istighfar engkau ini wahai orang tua?" Jawabnya "Semenjak aku mengamalkan istighfar ini, Allah akan terus memakbulkan keinginanku tanpa sempat aku mengangkat tangan dan berdoa memohonnya". Tanya Imam Ahmad lagi dengan penuh rasa takjub "Wahai orang tua, ada tak apa-apa keinginan engkau yang Allah masih belum kabulkan?" Jawab orang tua "Hanya satu sahaja yang Allah masih belum kabulkan dan aku tetap menunggu" Tanya Imam Ahmad " Apakah keinginanmu itu?" Jawab orang tua " Aku ingin sangat bertemu dengan seseorang yang sudah lama aku kenal namanya, hanya wajahnya sahaja yang tidak ku kenali. Untuk pergi bertemu dengannya adalah mustahil bagiku kerana umurku sudah meningkat tua dan tenagaku kurang" Imam Ahmad terus memanjatkan beribu-beribu kesyukuran kepada Allah di dalam hatinya. Hari ini Allah menunjukkan suatu bukti amalan istighfar padanya. Hatinya terus menerus memanjatkan kesyukuran. Kata Imam Ahmad "Wahai orang tua, akulah Imam Ahmad" Orang tua itu terkejut dan terus memeluk Imam Ahmad.

Begitulah antara kelebihan istighfar seperti yang di gambarkan oleh Imam Ahmad. Tiba2 aku terdengar nama aku dipanggil. Tercari-cari..rupanya isteri aku dah selesai tasmi'. Ok, time to balik rumah :-) Timing yang tepat :p

p/s: "kita hidup dengan apa yang kita dapat, tapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita beri"






Kita membina hidup dengan apa yang yang kita dapat, tapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita beri.

Pendapat